Followers

Friday 30 September 2011

SLE

Kawal SLE sebelum hamil..

APABILA disebut penyakit Sistemik Lupus Eritomatosus (SLE), ramai mengerut dahi kerana banyak sebab — tidak faham, tidak tahu, malah ada juga yang tidak pernah dengar langsung.

SLE yang juga disebut lupus sebenarnya bukan penyakit yang jarang berlaku di negara kita. Ia sebahagian daripada gangguan sistem imunisasi badan yang juga dipanggil penyakit autoimun.

Puncanya tidak diketahui dan penawarnya juga belum ditemui. Badan pesakit akan menghasilkan banyak protein darah iaitu antibodi. Dalam keadaan biasa, antibodi melindungi badan daripada jangkitan dan menyerang benda asing (seperti bakteria) yang masuk ke badan.

Namun bagi pesakit SLE, antibodi bukan saja melindungi badan daripada benda asing, tetapi turut menyerang tisu badan pesakit sehingga boleh menyebabkan radang dan kerosakan organ.

Antibodi turut menyerang organ, kulit, jantung, buah pinggang, paru-paru, sendi, salur darah dan otak. Sebab itulah ia dipanggil penyakit autoimun.

Lain orang lain simptomnya, tetapi gejala biasa dialami pesakit ialah cepat letih, sendi bengkak dan sakit, demam tanpa sebab, ruam pada kulit dan masalah buah pinggang. Penyakit boleh berulang dan bertambah teruk, tetapi ia boleh dikawal dengan pengambilan ubat.

Antara simptom umum ketika penyakit dalam peringkat aktif termasuk keletihan, demam, selesema, sakit otot dan sendi, tompok merah berbentuk rama-rama pada hidung dan pipi (lebih teruk jika terdedah pada cahaya matahari), rambut gugur, radang pada tisu luar jantung dan paru-paru, tiada selera makan dan hilang berat badan.

Walaupun serangan penyakit lupus biasanya menyerang golongan berumur antara 15 hingga 45 tahun, ia boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang tua, tetapi lazimnya membabitkan pesakit wanita.

Penyakit SLE ada pelbagai tanda yang kadangkala disalah tafsir sebagai penyakit lain. Ia boleh berlaku secara akut (tiba-tiba) atau penyakit yang teruk selama bertahun-tahun tanpa dapat dikesan puncanya.

Oleh itu, pesakit lupus dinasihatkan tidak mengandung sehingga penyakit mereka terkawal kerana ada beberapa jenis ubat diambil boleh menyebabkan komplikasi kehamilan, termasuk keguguran serta membahayakan nyawa ibu dan anak.

Pakar Perunding Perubatan Reumatologi, Hospital Selayang, Dr Ong Swee Geik, berkata beberapa faktor risiko boleh menyebabkan pesakit SLE mengalami masalah ketidaksuburan iaitu:


Pernah mengambil ubat imunosupresif seperti cyclophosphamide. Jika pesakit mengambil ubat ini pada dos tinggi, ia boleh memberi kesan negatif terhadap ovari dan mengurangkan penghasilan telur.


Umur pesakit SLE ketika menerima rawatan. Jika umur kurang daripada 30 tahun, kebarangkalian untuk mengandung adalah lebih tinggi berbanding pesakit melebihi 35 tahun.


Kegagalan ovari disebabkan tindakan autoantibodi pesakit. Sebelum 1990, doktor menasihatkan pesakit supaya tidak mengandung kerana boleh membahayakan nyawa ibu dan bayi. Namun kajian seterusnya mendapati ia tidak benar, kerana pesakit boleh mengandung asalkan penyakitnya terkawal.

“Terkawal bermakna penyakit tidak aktif sekurang-kurangnya enam bulan dan pesakit mengambil ubat pada dos rendah, contohnya kurang daripada 10 miligram steroid sehari.

“Paling penting, pesakit mesti berbincang dengan doktor sebelum mengandung, terutama mengenai tarikh, komplikasi dan jenis ubat yang sesuai kerana jika SLE aktif (bermakna pesakit memerlukan ubat pada dos tinggi), ia boleh mengakibatkan keguguran dan membawa masalah kepada bayi.

“Masalahnya, ramai pesakit berhenti mengambil ubat ketika hamil dan ini menyebabkan risiko penyakit menjadi aktif adalah sangat tinggi,” katanya ketika ceramah umum mengenai kesuburan dan SLE anjuran Persatuan SLE Malaysia di ibu pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Dr Ong berkata, pesakit SLE berdepan risiko 20 peratus lebih tinggi mengalami keguguran berbanding wanita normal. Selain itu, bayi mungkin dilahirkan pra matang (tidak cukup bulan) atau meninggal dalam perut.

Antara faktor risiko mengapa kejadian ini berlaku:


1) Penyakit SLE aktif ketika hamil.


2) Kehadiran antibodi antifosfolipid dalam badan pesakit. Jika ada antibodi ini, risiko keguguran lebih tinggi. Pesakit akan diberikan ujian khas untuk mengesan antibodi ini kerana ia boleh merencatkan tumbesaran janin, praeklampsia (tekanan darah tinggi, bengkak pergelangan kaki dan air kencing mengandungi protein pada akhir kehamilan) serta kelahiran pra matang.


3) Ada penyakit buah pinggang (lupus nephritis); yang dihadapi 50 hingga peratus pesakit SLE.


4) Mengalami masalah tekanan darah tinggi ketika hamil dan sukar dikawal yang boleh mengakibatkan janin mati dalam kandungan.

Ubat yang boleh dimakan ketika hamil:

1) Steroid — seperti prednisolone. Ia perlu diambil sepanjang kehamilan pada dos rendah, iaitu kurang daripada 10 miligram atau empat biji sehari.

Kesan sampingan: tekanan darah tinggi, praeklampsia, kencing manis dan air ketuban pecah awal. Tiada bukti ia boleh mencacatkan janin.

2) Ubat anti malaria — seperti Hydroxychloroquinone. Ubat ini juga tidak mencacatkan janin, tetapi kesan ubat masih ada dalam badan selepas tiga bulan pengambilannya dihentikan.

3) Ubat imunosupresif — contohnya Azathioprine. Pesakit yang mengambil ubat ini dilarang memberi susu badan kepada bayi kerana ia boleh melemahkan sistem imunisasi anak.

4) Aspirin — boleh diambil pada dos rendah (75 miligram sehari). Dos tinggi boleh menyebabkan masalah jantung pada janin serta gangguan pendengaran pada ibu dan anak ketika kelahiran. Ia biasanya diberi kepada wanita yang mengalami sindrom antifosfolipid iaitu masalah darah pekat ketika mengandung.

Dr Ong berkata, kebanyakan pesakit SLE mengalami masalah darah lebih pekat daripada individu normal dan masalah ini bertambah buruk ketika hamil. Jika tidak dirawat, darah menjadi lebih pekat dan boleh menyebabkan kematian janin.

Sementara itu, beberapa jenis ubat perlu dielakkan sama sekali ketika hamil iaitu:


1) Cyclophosphamide — boleh mengakibatkan kecacatan janin. Pesakit yang mengambil ubat ini tidak dibenarkan memberi susu badan kepada bayi.

2) Mycophenolate mofetil.

3) Methotrexate.

“Beberapa perkara perlu diambil perhatian pesakit SLE iaitu berbincang dengan doktor sebelum merancang untuk mengandung. Pastikan penyakit tidak aktif sekurang-kurangnya enam bulan dan berjumpa doktor lebih kerap ketika hamil.

“Ini akan memudahkan doktor mengawal dan mengesan kemungkinan tidak diingini. Memang susah sedikit, tetapi ia penting untuk kesihatan pesakit dan anak dalam kandungan,” katanya.



No comments: