Fakta Ringkas
Buah pinggang mempunyai fungsi berikut:
- Menapis darah dan membuang bahan toksik.
- Mengimbangkan elektrolit dan pH dalam darah.
- Mengawal tekanan darah.
- Menukarkan Vitamin D kepada bentuk yang lebih aktif.
- Membantu pengeluaran sel darah merah dalam sumsum tulang.
Lupus Nefritis
Apabila Sistemik Lupus Erithematosus (SLE) melibatkan buah pinggang, fungsinya akan terjejas. Walaubagaimana pun, buah pinggang mempunyai simpanan fungsi yang banyak. Oleh yang demikian, tidak terdapat tanda-tanda awal penyakit buah pinggang sehinggalah ianya sudah terlewat.
Jumlah pesakit SLE yang buah pinggangnya terjejas mungkin di antara 50% hingga 80%. Dalam kebanyakan kes, penglibatan buah pinggang agak sederhana dan biasanya tidak merupakan masalah yang besar. Walaubagaimanapun ia mungkin merupakan masalah yang serius bagi sesetengah pesakit. Dengan kemajuan bidang perubatan dalam masa 30 hingga 40 tahun kebelakangan ini, ianya dapat mengubah masa depan pesakit lupus yang serius. Pada zaman sekarang, dengan rawatan yang betul, ramai pesakit yang menghidap lupus nefritis yang serius boleh menjalani kehidupan sihat dan normal.
Lupus nefritis terjadi apabila terdapat pemendapan protein (kompleks imun) pada alat penyaring buah pinggang serta keradangan saluran darah yang mengalir ke buah pinggang. Ini akan menyebabkan terdapat sel darah merah dan protein dalam air kencing, tekanan darah naik, dan, dalam kes-kes yang serius, keluaran buangan kimia yang biasanya dibuang bersama air kencing akan berkumpul dalam darah.
Penglibatan buah pinggang dalam SLE tidak ketara. Pesakit tidak akan mengalami apa-apa gejala sehinggalah kerosakan telah berlaku. Pada ketika itulah pesakit akan mengadu berat badan mereka bertambah dan terdapat kebengkakan terutamanya pada kaki. Doktor mengistilahkan ini sebagai oedema atau sindrom nefritik. Ianya merupakan gejala yang lazim terdapat jika buah pinggang terjejas. Komplikasi yang amat ditakuti ialah kegagalan buah pinggang tetapi mujurlah keadaan ini jarang berlaku. Apabila buah pinggang gagal untuk berfungsi, pesakit akan mengadu keletihan, hilang selera makan, loya, dan muntah. Jika tidak dirawat, masalah status mental, sawan, atau masalah-masalah lain mungkin berlaku.
Memantau Fungsi Buah Pinggang
Langkah yang penting ialah pengesanan penglibatan buah pinggang dalam SLE pada peringkat awal. Bagi tujuan ini, doktor akan menasihatkan pesakit menjalani ujian fungsi buah pinggang (ujian darah dan air kencing) dari semasa ke semasa. Analisa air kencing boleh menunjukkan berbagai tanda keradangan buah pinggang seperti gumpalan sel darah merah atau kehadiran protein yang berlebihan. Untuk menentukan tahap penglibatan buah pinggang, air kencing dikumpul selama 24 jam. Ujian darah akan memberi maklumat tentang peningkatan keluaran buangan di dalam darah sekiranya terdapat kerosakan pada buah pinggang. Tahap antibodi anti-DNA dan komplemen (C3 dan C4) juga diukur dari semasa ke semasa kerana ia boleh membantu menentukan aktiviti lupus.
Biopsi Buah Pinggang
Biopsi buah pinggang ialah satu ujian untuk melihat berapa banyak mendapan protein dan keradangan yang ada. Ini akan menentukan jenis rawatan yang perlu diberi. Biopsi dijalankan dengan memasukkan sebatang jarum halus ke dalam buah pinggang sambil pesakit berbaring menangkup. Sekeping tisu yang kecil di dapatkan bagi tujuan pemeriksaan di bawah mikroskop. Hanya bius setempat diperlukan bagi prosedur ini.
Terdapat enam jenis klasifikasi lupus nefritis oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Klasifikasi yang terkemudian oleh Persatuan Nefrologi Antarabangsa telah dicetak pada tahun 2004 tetapi ianya masih belum dipakai dengan luas.
Kelas I | Tiada kerosakan langsung atau kerosakan yang minima |
Kelas II | Mesangial proliferative lupus nefritis (LN) |
Kelas III | Focal segmental proliferative LN |
|
Kelas IV | Diffuse proliferative LN |
Kelas V | Membranous LN |
Kelas VI | Sclerosing LN |
Pakar patologi juga mengira keputusan biopsi untuk digolongkan sebagai “aktif” (menunjukkan keradangan yang aktif) atau “kronik” (menunjukkan parut). Cara ini dapat menentukan samada rawatan agresif mendatangkan manafaat atau tidak.
Rawatan
Penglibatan buah pinggang yang sedikit hanya memerlukan langkah-langkah umum seperti untuk pesakit-pesakit SLE lain. Bagi pesakit yang buah pinggangnya terlibat secara serius, cara rawatan pada umumnya adalah lebih agresif. Ini bertujuan untuk mengawal penyakit berkenaan dengan cepat dan menghalang kerosakan yang kekal. Rawatan diberi berasaskan biopsi buah pinggang.
Steroid
Kortikosteroid seperti prednisolone adalah rawatan utama lupus nefritis. Dalam kes-kes serius, pada mulanya
prednisolone mungkin diberi dalam bentuk intravena (drip). Bagi kes-kes yang tidak berapa teruk pula, ia diberi secara pil. Ubat ini merupakan ubat paling baik untuk melawan keradangan dan menyumbang ke atas kemajuan dalam perawatan SLE.
Para doktor akan menasihatkan pesakit mengambil ubat ini apabila buah pinggang terjejas atau apabila penyakit itu bertambah teruk dan boleh mengancam nyawa. Keputusan pengambilan ubat ini tidak dibuat sewenang-wenangnya oleh kerana ia boleh mengakibatkan berbagai kesan sampingan. Di antara kesan sampingan jangka pendek adalah penambahan selera makan, kenaikan berat badan, dan muka menjadi bulat. Kesan jangka panjangnya pula termasuklah kerapuhan tulang, darah tinggi, dan kulit menjadi nipis.
Kadangkala, terdapat pesakit yang cuba memberhentikan pengambilan prednisolone atau mengurangkan dosnya. Mungkin mereka bosan dengan kesan sampingannya atau mereka merasa penyakit mereka bertambah baik atau sebaliknya. Adalah penting bagi pesakit-pesakit yang mengambil ubat ini memahami cara ia bertindak dan bahaya memberhentikan atau menukar dosnya tanpa pengawasan.
Ubat-ubatan Imunosupresif lain
Langkah ke depan dalam rawatan penyakit lupus yang membabitkan buah pinggang adalah dengan penggunaan ubat imunosupresif , terutamanya
cyclophosphamide. Ubat-ubatan imunosupresif mengurangkan pengeluaran antibodi yang menyebabkan keradangan. Cyclophosphamide biasanya diambil bersama prednisolone dalam dos sederhana. Doktor hanya menasihatkan pengambilannya bagi kes-kes lupus nefritis yang aktif dan agresif. Ubat ini boleh diambil secara oral atau intravena (drip). Bagi kes-kes yang serius, kortikosteroid dan cyclophosphamide diberi dalam dos yang tinggi secara intravena (pulse therapy). Penambahbaikan dapat dilihat melalui spesimen biopsi, pengurangan jumlah protein dalam air kencing, dan peningkatan dalam fungsi buah pinggang.
Cyclophosphamide juga mempunyai banyak kesan sampingan. Ini termasuklah pengurangan sel darah putih yang membuatkan pesakit lebih mudah mendapat jangkitan. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan dari pundi kencing, keguguran rambut, kegagalan ovari bagi pesakit wanita, dan kekurangan mani bagi pesakit lelaki. Di antara kesan jangka panjang pula termasuklah sedikit risiko beberapa jenis kanser. Oleh yang demikian, pesakit perlu melalui ujian darah berkala dan mendapat rawatan susulan daripada doktor.
Azathioprine (Imuran) kadang-kadang digunakan bersama prednisolone kerana ianya boleh mengurangkan penggunaan steroid. Namun demikian, kegunaannya tidak sepopular cyclophosphamide kerana ia kurang berkesan dalam mengurangkan keradangan dalam kes-kes yang teruk.
Ubat-ubatan imunosupresif lain yang lebih baru dan kurang merbahaya bagi merawat lupus nefritis yang serius termasuklah mycophenolate (Cell-Cept, Mifortic), tacrolimus (Prograf), dan rituximab (Mathera).
Diuretik dan Ubat Darah Tinggi
Pesakit yang mengalami kaki bengkak atau air berlebihan bertakung mungkin memerlukan ubat seperti Lasix. Ubat ini dapat membantu mengurangkan air yang berlebihan dalam badan dengan menambahkankan pengeluaran air kencing. Pesakit-pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi pula mesti memastikan yang mereka mengambil pil-pil mereka dengan tetap. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang yang lebih teruk.
Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang
Ada kalanya pesakit hanya disahkan mengidap penyakit buah pinggang apabila keradangan telah mencapai tahap yang teruk. Kadang-kadang, walaupun jarang sekali, rawatan yang diberi tidak dapat membantu pesakit dan buah pinggang gagal seterusnya. Kegagalan buah pinggang boleh dirawat melaui dialisis dan pemindahan buah pinggang.
Dialisis dan pemindahan buah pinggang boleh mendatangkan kesan yang berfaedah. Bagi pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang yang teruk dan memerlukan samada dialisis atau pemindahan buah pinggang, penyakit SLE dengan sendirinya bertambah baik dan jarang menimbulkan masalah lain.
Penutup
Buah pinggang kerap terlibat dalam SLE tetapi penglibatan ini biasanya tidak serius dan senang dirawat. Tetapi, ada juga yang terjejas dengan serius. Oleh itu, untuk mengesan tanda-tanda awal penglibatan buah pinggang, pesakit SLE haruslah menjalani ujian darah dan air kencing dari semasa ke semasa. Bagi setengah pesakit, suatu biopsi buah pinggang diperlukan untuk menentukan rawatan yang terbaik. Berdasarkan keputusan biopsi serta keputusan klinikal dan makmal yang lain, sesetengah pesakit hanya memerlukan rawatan prednisolone sementara yang lain pula memerlukan gabungan prednisolone serta satu atau lebih ubat imunosupresif.
Dengan rawatan yang bersesuaian, masa depan lupus nefritis cerah. Jika kegagalan buah pinggang berlaku sekalipun, aktiviti penyakit SLE biasanya akan berkurangan. Kehidupan yang berguna serta produktif dapat dikekalkan dengan menjalani dialisis atau pemindahan buah pinggang.
sumber: Persatuan SLE Malaysia