Followers

Thursday, 7 March 2013

Kisah Ashabul Ukhdud (Para Pembuat Parit)

Lama tak baca kisah ni.bila nak tidurkan puteri ummi yg 2 org ni, ummi n abi memang kena ready untuk satu cerita.Sampai satu masa dah habis dah cerita yg nak di ceritakan, terpaksalah ummi guna khidmat Mr google untuk bantu cari cerita2 yg membina. Alhamdullilah dlm dok mengoogle ni terjumpa cerita ni dari blog kat sini,memang bagus utuk anak2,supaya dia org tak terus khayal dengan cerita2 yg sekadar hiburan tp tak mendidik jiwa. Snowwith, thumbelina, Barbie dan byk lagi cerita2 khayalan barat yg memang jadi kegemaran anak2 ummi. Bila dia org dah meningkat umur ni ummi mula perlahan2 nak tarik perhatian pada hero/heroin sebenar islam.Moga Allah memudahkan urusan kami membesarkan anak2 ini dlm suasana islam yg sebenarnya. Insyaallah.

 

Pada masa dahulu raja-raja bergantung kepada ahli sihir untuk mengukuhkan takhta kerajaan mereka. Sihir digunakan oleh pemerintah untuk menipu orang ramai yang menyebabkan mereka menjadikan raja sebagai tuhan selain daripada Allah swt. Rasulullah saw telah memberitahu bahawa ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir yang sudah lanjut usianya. Tukang sihir ini merasa takut akan kehilangan ilmunya dan meminta agar raja tersebut mencari seorang budak yang bijak dan menonjol pada masa itu untuk mewarisi ilmu dan kesesatannya. Raja itu menunaikan hajat tujang sihir tadi.


Pada suatu hari ketika budak itu berulang alik dari istana, dia telah melalui satu tempat yang merupakan tempat tinggal seorang rahib (ahli agama) dan dia begitu tertarik kepadanya dan mendengar segala nasihat daripada rahib tadi. Pada suatu hari budak tersebut telah terserempak dengan seekor binatang besar yang menghalang laluan orang ramai. Justeru, timbul idea bagi budak tersebut untuk mengetahui yang manakah benar di antara tukang sihir dan rahib. Lalu dia pun mengambil seketul batu dan melontar kepada binatang tersebut dengan memohon kepada tuhan agar membunuh binatang tersebut sekiranya rahib itu yang benar, Lalu binatang itu tersungkur dan rebah dengan lontaran itu.

Allah swt telah mengurniakan kepada budak tadi kelebihan menyembuh penyakit, antaranya mencelikkan penglihatan dan menyembuhkan penyakit sopak sambil ia berdakwah dengan memberitahu bahawa penyembuhnya adalah Allah. Sesiapa yang beriman kepada Allah maka Dialah jua penyembuhnya. Budak tadi tetap sabar dalam menyebarkan dakwah ketika mengubati penyakit orang ramai. Lalu tersebarlah berita mengenai kehebatan budak tadi kepada salah seorang pegawai istana yang buta. Tanpa berlengah, dia pun pergi kepada budak tadi untuk berubat. Budak tersebut memberitahu bahawa penyembuhnya adalah Allah. Jika dia beriman kepada Allah, dia akan berdoa kepada Allah supaya Dia menyembuhkan penyakitnya. Pegawai tadi terus beriman dan penyakitnya disembuhkan dengan berkat daripada doa budak tadi.

Pada suatu hari, pegawai tadi telah menghadiri suatu majlis lalu raja berasa hairan apabila melihat pegawai itu tidak buta lagi. Maka dia bertanya: "Siapakah yang menyembuhkan penglihatanmu". Lalu pegawai tersebut menjawab : "Tuhanku". Maka raja tersebut bertanya lagi: "Adakah bagi kamu tuhan selain daripadaku?". Pegawai itu menjawab : "Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah". Maka raja tersebut begitu marah apabila mendengar jawapan itu kerana ia boleh menggugat takhta dan pemerintahannya. Raja telah menyiksa pegawai itu sehinggalah dia memberitahu mengenai budak tersebut.

Apabila budak tadi datang ke istana… raja itu menyangka bahawa budak tadi telah mencapai suatu tahap ilmu sihir hasil daripada tunjuk ajar tukang sihirnya. Tetapi ternyata sangkaannya itu meleset sama sekali apabila budak tadi mengingkari sihir dan tukang sihir. Sebaliknya budak itu mengajak untuk beriman kepada Allah s.w.t yang Esa.

Apabila raja mengetahui tentang kewujudan rahib, maka diazabnya rahib itu agar meninggalkan agamanya namun ia enggan dan tetap bersabar sehinggalah badannya dibelah dengan gergaji. Rahib itu meninggal dunia dalam keadaan mempertahankan aqidahnya. Selepas itu, raja telah merancang untuk membunuh budak itu pula dengan dibawa budak itu ke puncak gunung untuk dihumbankan ke lembah yang curam. Lalu budak itu berdoa kepada Allah. Tiba-tiba bergegarlah gunung tersebut dan jatuhlah semua pegawai-pegawai raja ke dalam lurah yang tinggi itu. Maka kembalilah budak tadi kepada raja dengan selamatnya dan memberitahu mengenai apa yang berlaku.

Selepas gagal cubaaan pertama, lalu budak itu dihantar pula ke tengah laut untuk dihumbankan ke dasar lautan , lalu berdoalah budak tadi kepada Allah. Doanya dimaqbulkan dan kesemua pegawai tadi ditenggelamkan oleh Allah s.w.t. Budak tadi kembali semula kepada raja dengan selamatnya. Setiap perbuatan budak itu menjadi buah mulut orang ramai terutamanya berkaitan dengan keberanian budak tersebut dalam menghadapi pemerintah yang zalim itu tanpa rasa gentar dan takut. Raja menyedari akan kelemahannya untuk membunuh budak tersebut maka akhirnya budak itu sendiri memberitahu mengenai satu cara yang membolehkan dirinya dibunuh. Budak itu meminta raja tersebut supaya mengumpulkan orang ramai di suatu tempat dan mengikatnya pada pokok. Kemudian mengambil anak panah daripada simpanannya dan memanahnya dengan berkata : "Dengan nama Allah s.w.t Tuhan budak ini!". Lalu raja pun memanahnya sebagaimana cara yang disuruh oleh budak itu.

Raja berasa lega apabila budak itu pun meninggal dunia, namun tiba-tiba raja diberitahu bahawa orang ramai yang menyaksikan kejadian itu telah beriman kepada Allah. Raja itu pun dengan segera mengarahkan semua pegawai dan sekutu-sekutunya menggali parit dan menyalakan api ke dalamnya dengan menghumbankan setiap orang yang beriman kepada Allah ke dalamnya. Namun, semua orang yang beriman itu lebih rela dihumbankan ke dalam api tersebut kerana api neraka di hari qiamat lebih ditakuti oleh mereka daripada api dunia, begitulah pendirian orang mukmin yang sebenarnya.



Ada seorang wanita yang masih mempunyai anak kecil di dalam pangkuannya yang masih menyusu agak teragak-agak untuk terjun ke dalam parit yang dipenuhi api yang bernyala kerana memikirkan tentang bayinya itu, lalu dengan izin Allah s.w.t bayi kecil itu dapat bercakap kepada ibunya supaya bersabar kerana mereka berada di dalam kebenaran.

Allah s.w.t telah merakamkan peristiwa yang bermaksud : "Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. (Al-Buruuj: 4-11)" .

PENGAJARAN KISAH
1. Allah tetap menyempurnakan agamaNya sebagaimana Dia menolong budak dalam kisah ini. Kaum yang selama ini berada dalam kesesatan dan kezaliman mendapat hidayah Allah apabila melihat peristiwa yang berlaku kepada budak itu. Allah taala senantiasa membantu mereka yang menegakkan dan memelihara serta mempertahankan agamaNya.
2. Allah mampu membangkitkan pendakwah pada agamaNya daripada kalangan orang yang mana pada mulanya dianggap pengukuh kepada kerajaan Thaghut sebagaimana budak di dalam kisah ini, pada mulanya budak itu menjadi murid kepada tukang sihir tetapi akhirnya beriman kepada Allah melalui pengajian yang diperolehi daripada Abid dan akhirnya dia menjadi penentang paling kuat kepada kerajaan yang zalim itu.
3. Iman tidak memerlukan masa yang panjang setelah diberi hidayah oleh Allah didalam hati manusia sebagaimana yang terjadi kepada kaum di dalam kisah ini.
4. Allah mengurniakan karamah (kemuliaan) kepada wali-waliNya didalam memperkukuhkan lagi keiman dan keyakinan.
5. Orang kafir sentiasa bermusuh dengan orang beriman sebagaimana digergaji rahib dan pegawai raja yang telah beriman kepada Allah.
6. Kita wajib bersabar di dalam menempuh ujian sebagaimana sabarnya rahib, pegawai dan budak itu serta kaum yang telah dihumbankan ke dalam parit api.
7. Dibolehkan membuat helahan dalam peperangan dan perkara yang bertujuan menegakkan kebenaran.
8. Orang yang jahat sentiasa mahu kejahatan mereka diwarisi kepada orang lain sebagaimana tukang sihir mahu mengekalkan ilmu sihirnya kepada orang lain untuk menyesatkan manusia.
9. Mereka yang benar-benar yakin, istiqomah, dan ikhlas dalam perjuangan sahaja yang akan mendapat kemenangan.

KESIMPULAN
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT kita hendaklah yakin akan kebenaran agama Allah dan sentiasa berdoa serta bergantung kepadaNya. Serahlah segala urusan dan penentuan hanya kepada Allah. Barang sesiapa yakin kepada Allah maka Allah akan menolongnya dan jika dia terkorban sekalipun pegorbanannya itu akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan ke arah kebenaran. Kita hendaklah berjemaah kerana ia akan membawa kepada keberkatan dan kebahgiaan. Sesiapa yang menolong dan membantu agama Allah di dunia maka Allah akan menolongnya di dunia dan di akhirat serata menetapkannya di dalam islam.

Seperti kisah Rasulullah s.a.w dengan pamannya Abu Talib:
Abu Thalib menemui Rasulullah saw, dan berkata, ”Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya kaum Quraisy datang menemuiku. Mereka mengatakan begini dan begitu. Maka tetaplah atasku dan atas diriku, dan janganlah engkau membebaniku dengan urusan yang tak sanggup kuatasi.” Rasulullah SAW mengira Abu Thalib terganggu karena perkara beliau ini, tidak mampu lagi melindungi dan berdiri bersama beliau.


Maka beliau berkata, “Wahai paman! Demi Allah! Seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan ini, niscaya aku takkan meninggalkannya hingga Allah memenangkannya, atau aku binasa.”

Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq: 2-3)